Perdahuluan
Isu perpaduan kaum merupakan satu usaha berterusan yang
perlu dipikul dan dijunjung bersama-sama oleh semua pihak. Sekiranya terlerai
ikatan silaturahim dan musnah perpaduan dalam masyarakat, nescaya pelbagai
impak negatif akan menimpa masyarakat khususnya dan negara amnya. Oleh sebab
itu, pelbagai usaha perlu diambil bagi memupuk dan membaja agar perpaduan terus
subur dan mewangi dalam kehidupan masyarakat sekali gus mengelakkan peristiwa
hitam 13 Mei 1969 daripada berulang kembali.
aktiviti gotong-royong
Antara usaha yang boleh dilakukan dalam untuk mewujudkan
perpaduan dalam kalangan masyarakat adalah dengan mengadakan aktiviti
gotong-royong. Aktiviti gotong-royong merupakan saluran dan peluang kepada
masyarakat di sesuatu kawasan perumahan untuk bertemu dan mengenali antara satu
sama lain. Di samping itu, aktiviti ini dapat memupuk semangat bekerjasama
untuk membersihkan dan mengindahkan kawasan persekitaran tempat kediaman mereka
sesuai dengan slogan “Negara Bersih Rakyat Sihat”. Sebagai contoh, aktiviti
gotong-royong yang boleh dijalankan ialah kerja-kerja membersihkan kawasan
perumahan, taman permainan, tanah perkuburan dan sebagainya. Seterusnya,
aktiviti gotong-royong dapat meringankan serta memudahkan kerja yang sukar
dilakukan ibarat kata peribahasa yang berat sama dipikul, yang ringan sama
dijinjing serta ke bukit sama di daki, ke lurah sama dituruni.
sambutan perayaan kaum-kaum
Selain itu itu, perpaduan kaum di Malaysia boleh dicapai
dengan meraikan sambutan perayaan kaum-kaum di Malaysia secara bersama-sama.
Melalui amalan kunjung-mengunjung yang dilakukan akan dapat mengeratkan ikatan
silaturahim antara jiran serta rakan daripada pelbagai kaum. Sebagai contohnya,
sambutan Hari Raya Aidilfitri, Tahun Baru Cina, Deepavali, Hari Gawai dan Hari
Krismas merupakan perayaan utama yang boleh diraikan oleh seluruh masyarakat
yang terdiri daripada pelbagai kaum. Melalui kunjungan sambutan perayaan
sesuatu kaum dapat menerbitkan perasaan hormat-menghormati terhadap adat dan
kepercayaan kaum lain. Di samping itu, budaya ini dapat mengukuhkan perpaduan
apabila kurangnya syak wasangka antara kaum di Malaysia. Sekiranya perkara ini
dapat dipraktikkan nescaya masyarakat Malaysia akan mampu menghadapi apa-apa
sahaja cabaran yang datang dari luar atau masyarakat antarabangsa, ibarat kata
peribahasa bulat air kerana pembetung, bulat manusia kerana muafakat serta
bersatu kita teguh, bercerai kita roboh
aktiviti sukan dan permainan
Seterusnya, aktiviti sukan dan permainan yang dijalankan
juga boleh mewujudkan perpaduan kaum di Malaysia. Sukan dan permainan yang
dijalankan dapat dijadikan tali penghubung atau gelanggang pertemuan pelbagai
kaum di Malaysia. Dalam hal ini, satu perkara yang perlu diselesaikan adalah
dengan memecahkan monopoli sukan dan permainan yang dikuasai oleh sesuatu kaum
sahaja seperti permaian bola keranjang, ping pong, sepak takraw dan sebagainya.
Kita berharap pada suatu masa nanti pasukan bola keranjang negara misalnya,
mampu diwakili pelbagai kaum di Malaysia dan bukan sahaja dimonopoli oleh kaum
Cina sahaja. Dalam konteks ini, sukan bola sepak, badminton, hoki dapat dijadikan
contoh dan teladan. Dengan bermain bersama-sama dalam sesuatu sukan dan
permainan serta seterusnya mewakili pasukan kebangsaan di peringkat
antarabangsa, akan dapat menanamkan semangat cinta akan negara. Usaha ini tentu
dapat mengharumkan nama negara sekali gus meningkatkan imej negara di peringkat
antarabangsa.
Sambutan Hari Kebangsaan
Sebagaimana yang semua telah ketahui tanggal 31 Ogos 1957
merupakan tarikh keramat kemerdekaan negara. Sambutan Hari Kebangsaan
sesungguhnya membuka satu lagi jalan dalam usaha memupuk perpaduan di Malaysia.
Pada kebiasaannya, pelbagai kaum akan menyertai upacara sambutan tersebut pada
setiap tahun. Melalui pelbagai aktiviti yang dijalankan nescaya dapat
menambahkan ukhwah dan permuafakatan antara masyarakat pelbagai kaum di
Malaysia. Di samping itu, penghayatan tema sambutan Hari Kebangsaan, misalnya
Keranamu Malaysia diharap dapat menanam semangat cinta akan negara sekali gus
mengukuhkan amalan peribahasa di mana bumi dipijak, di situ langit dijunjung.
Sesungguhnya, semua kaum di Malaysia perlu memahami bahawa kemerdekaan yang
digapai pada hari ini perlu dijaga kerana Malaysia hanya satu, dan tiadak ada
duanya. Peribahasa hujan emas di negeri orang, hujan batu di negeri sendiri,
baiklah di negeri sendiri perlu direnungi oleh setiap warganegara Malaysia agar
perpaduan bukanlah menjadi duri dalam daging dalam usaha negara mencapai
Wawasan 2020.
Penutup
Intihanya, semua pihak perlu sedar akan pentingnya memupuk
dan menjaga perpaduan masyarakat di negara kita. Sesungguhnya, sekali kita leka
dan lali serta memandang enteng akan perpaduan kaum, nescaya kita akan menyesal
untuk selama-lamanya kerana terlajak perahu boleh diundur, terlajak kata dan
tindakan buruk padahnya. Kini, kita berada dalam era globalisasi dan
liberalisasi. Pelbagai usaha dijalankan adalah demi menuju ke arah membentuk
sebuah masyarakat majmuk yang bersatu padu. Walaupun terdapat beberapa cabaran,
tetapi dengan adanya perancangan yang teliti, usaha yang gigih dan strategi
yang lebih berkesan dan dilaksanakan pula dengan penuh tanggungjawab dan bersifat
proaktif oleh semua pihak sudah pasti keharmonian, perpaduan kaum dan integrasi
nasional akan tercapai.
0 comments: